BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Selasa, 6 April 2010

AL-FATIHAH


Al-Habib As-Sayyid Abd Qadir Bin Ahmad As-Saqqaf

Beliau dilahirkan pada Jamadil Akhir 1331H dan dibesarkan oleh ibu bapa yang soleh dalam suasana yang solehah. Ayahnya bernama Sayyid Ahmad Bin Abd Rahman manakala Ibunya As-Syarifah A'lawiyah Binti Al-Habib Ahmad Bin Muhammad Al-Jufri

PERMULAAN SEJARAH
Terbuka mata hati Habib Abd Qadir untuk menjadi Insan yang bertaqwa dan soleh apabila beliau sering melihat ayahnya mendirikan solat, berpuasa, menyibukkan diri dengan ilmu dan majlisnya (ilmu). Ibunya pula sering membaca wirid-wirid siang dan malam, suasana beginilah yang memahat satu ukiran keimanan di dalam jiwa beliau.
Suasana beginilah yang diamalkan oleh para Salaf yang telah menjadikan rumah mereka sebagai sebuah sekolah yang mendidik anak-anak dengan pelbagai ilmu yang susah untuk diperolehi setelah dewasa. Semoga setiap dari kita mampu membentuk suasana keimanan di dalam rumah masing-masing.

PENGAJIAN
Habib Abd Qadir telah menuntut Ilmu di Madrasah An-Nahdah yang bermaksud “Kebangkitan”, sesungguhnya madrasah ini sebagaimana namanya. Guru-gurunya terdiri daripada Syeikh-syeikh besar dan Ulama-ulama. Method pembelajarannya ialah tarbiah, pembersihan jiwa dan ilmu. Di Madrasah ini Habib Abd Qadir mempelajari Ulum Hadis, Tafsir, Bahasa Arab dan segala ilmu berkaitan, Fiqh, Sirah, Sejarah dan sedikit daripada ilmu kira-kira dan falak dan juga selainnya. Madrasah ini juga mempunyai jabatan khusus untuk menghafal Al-Quran. Habib Abd Qadir telah menghafal Al-Quran dalam tempoh yang singkat. Walaupun Madrasah tersebut mempunyai keistimewaan yang luar biasa akan tetapi Ayah Habib Abd Qadir tidak pernah alpa dari tanggungjwab beliau untuk bertanya, mengikuti dan menguji segala pelajaran yang diperolehi oleh Habib Abd Qadir. Didikan dari rumah inilah yang tel! ah banyak melahirkan insan yang cemerlang.

CABARAN DAN MEHNAH
Apabila berubah suasana Politik di selatan Yaman, golongan Sosialis telah mengganggu golongan pendakwah dan agamawan, khususnya mereka yang mempunyai pengaruh dan menjadi nadi di dalam masyarakat. Golongan Pendakwah dan agamawan hidup di dalam keadaan terseksa pada ketika itu. Habib Abd Qadir sendiri diwajibkan untuk menulis namanya pada setiap pagi dan petang di balai polis. Beliau begitu sabar dan dalam masa yang sama berusaha untuk keluar dari cengkaman Sosialis sehinggalah ada yang sanggup membantu untuk membawa beliau ke Singapura dan seterusnya ke Indonesia. Di kedua-dua negara tersebut beliau telah mendapat sambutan yang hebat dan penghormatan yang selayaknya.
Dari Indonesia beliau telah bertolak menuju ke Hijaz dan disiitulah permulaan untuk beliau menetap di sana. Hijaz bukanlah kota yang asing bagi beliau kerana beliau pernah melaksanakan Haji sebanyak 6 kali sebelum beliau bermukim di Hijaz, Beliau telah keluar dalam tempoh yang lama untuk berdakwah sehingga beliau akhirnya kembali dan menetap di Hijjaz pada ramadhan 1394 H.

Di Hijaz beliau mendapat sambutan yang amat dahsyat. Setiap hari beliau akan keluar untuk mengajar pelbagai ilmu seperti hadis, tasauf dan sirah. Pelbagai perbincangan dan perdebatan ilmiah dalam pelbagai bidang ilmu juga diadakan. Beliau juga mempunyai beberapa majlis ilmu ditempat lain seperti Madinah.

KEISTIMEWAAN BELIAU
Beliau adalah seorang yang mampu menghidupkan kembali hati yang lemah terhadap kepada kecintaan kepada Allah, sentiasa mengungkapkan kata-kata yang indah dan penuh hikmah. Lidahnya tidak pernah lekang dari berhujah menggunakannas-nas al-Quran dan as-Sunnah dan cerita-cerita bangsa. Beliau menggambarkan realiti ummat yang memedihkan dan memberi penawar kepada semua bala dan kepincangan akhlak.

Kasih sayang Habib melata di dalam hati manusia dari pelbagai bangsa dan warna kulit, sama ada yang hampir dengan beliau atau yang jauh, yang bersama beliau atau menentang beliau. Sebagaimana yang boleh dilihat di dalam majlis beliau terdapat pelbagai bangsa dan warna kulit.

PENUTUP
Terlalu panjang jika ingin berbicara berkenaan Habib Abd Kadir, hanya sedikit ringkasan yang boleh dibuat. Untuk mengenal siapa Habib Abd Qadir dengan lebih mendalam, bertanyalah kepada penduduk Hijaz dan Yaman, nescaya kalian akan menemukan manusia-manusia yang terbentuk akhlak dan peribadinya dengan didikan Habib Abd Qadir. Maha Suci Allah yang menganugerahkan kita rezeki dengan adab zahir dan batin ketika bersama Ulama-ulama seumpama mereka.

Al-Habib As-Sayyid Abd Qadir Bin Ahmad As-Saqqaf telah menghembuskan nafas terakhirnya sebelum solat zohor pada hari Ahad 19 rabiul akhir 1432 bersamaan 4 april 2010. Solat di Masjid Haram pada hari yang sama selepas Isyak. –Al-Fatihah- Moga Allah alirkan segala keberkatan dan kelebihan mereka kepada kita semua, amin.